18. Sep, 2020

Harga emas tinggi tak jejas permintaan

KUALA LUMPUR: Permintaan terhadap emas berterusan di pasaran tempatan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meskipun harga logam itu kekal tinggi ketika ini.

Malah, harga emas memiliki potensi untuk melepasi paras RM300 segram tahun ini ekoran sentimen tidak menentu dalam pergerakan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) yang memberi manfaat besar kepada komoditi itu.

Beliau melihat harga emas berada pada jajaran yang positif, meskipun prospek harga kekal berhati-hati ketika ini, namun sentimen dolar yang lemah memberi kelebihan untuk terus memacu harga logam berkenaan.

"Banyak kemungkinan (harga melepasi RM300 segram), terutama langkah AS menjadikan dolar sebagai satu daripada instrumen politik yang memberi kesan kepada nilainya.

"Buat masa ini, harga emas kekal tinggi disebabkan dolar yang lemah. Perubahan hanya akan berlaku sekiranya adanya mata wang alternatif lain yang mampu menggantikan dolar AS sebagai instrumen opsyen dagangan emas.

"Namun, ketika ini belum lagi berlaku," katanya kepada BH selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-15 syarikat itu, baru-baru ini.

Pada 27 Julai lalu, harga emas mencecah paras tertingginya kepada AS$1,944.71 (RM8,268.43) seauns atau sekitar RM291.66 segram, mengatasi paras tertinggi AS$1,921.18 (RM8,168.60) atau RM288.14 segram yang dicatatkan pada 2011.

Mengulas lanjut, Yih Pyng berkata, langkah Rizab Persekutuan AS (Fed) melonggarkan dasar monetari memberi kesan kepada dolar, tetapi bertukar menjadi kelebihan kepada emas.

"Sekatan pergerakan dan belum ada vaksin yang boleh dikomersialkan secara meluas juga menjadi faktor penting kepada peningkatan harga emas memandangkan situasi pasaran ekuiti dan ekonomi global juga kurang jelas ketika ini.

"Pelabur kekal memilih emas sebagai aset selamat untuk melindungi nilai dan situasi ini memberi keuntungan kepada emas kerana menjadi pilihan ketika tempoh kurang memberangsangkan ini," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan sentimen semasa, ini adalah masa yang paling sesuai kepada peniaga menjual emas berikutan harga yang tinggi.

Katanya, selain melupuskan pegangan, pengguna juga boleh mengambil kesempatan untuk menukar emas lama dan menggantikan dengan yang baru, memandangkan kos tambahan yang perlu dibelanjakan adalah lebih rendah.

"Bagi mereka yang membeli emas pada harga lebih rendah satu ketika dulu, ini masa yang sesuai untuk menjual dan mendapat keuntungan yang tinggi," katanya.

Syarikat pereka, pengeluar dan peruncit bersepadu barang kemas tempatan itu akan meneruskan usaha mengembangkan operasi perniagaan borong dan pengeluarannya dengan memperkenalkan lebih banyak reka bentuk baharu ke pasaran tempatan.

Yih Pyng berkata, selaras dengan peningkatan kapasiti dan keupayaannya, Tomei merancang mengembangkan operasinya di seluruh negara bagi mengimbangi peningkatan permintaan.

"Kami juga merancang meluaskan penawaran produk ke pasaran luar negara seperti Indonesia, Vietnam, Singapura dan Eropah.

"Di pasaran runcit tempatan, Tomei sudah memasuki kebanyakan kompleks beli-belah utama bagi menawarkan pengalaman beli-belah terbaik kepada pelanggan.

"Selain koleksi tempatan, Tomei juga mempamerkan jenama antarabangsa seperti Xifu, Batar dan Prima Gold," katanya.

Beliau menjelaskan, persekitaran perniagaan runcit kekal tidak menentu susulan gangguan yang dicetuskan COVID-19.

Justeru, katanya Tomei memperkemas perniagaan pengeluaran sedia ada dengan mewujudkan portfolio peniagaan dagangan jongkong emas.

CREDIT : BERITA HARIAN

Oleh Mohd Zaky Zainuddin - September 1, 2020 @ 11:58am