2. Nov, 2020

Emas dijangka kembali cecah paras tertinggi

KUALA LUMPUR: Harga emas berpotensi untuk melepasi paras AS$2,000 seauns sekali lagi, disokong jangkaan pelaksanaan langkah pelonggaran dasar monetari bank pusat di seluruh dunia yang memberi kesan kepada nilai mata wang.

Akhir Julai lalu, harga emas mencecah paras tertinggi dalam sejarah untuk melepasi paras AS$2,000 seauns disebabkan tekanan lebih besar ke atas ekonomi.

"Saya juga melihat kebimbangan kes penularan COVID-19 yang meningkat mendadak di seluruh dunia termasuk Malaysia juga akan menyokong harga emas untuk meningkat lebih tinggi.

"Buat masa ini, harga emas kekal kukuh di atas paras AS$1,900 (RM7,875) seauns atau RM277.78 segram.

"Jika situasi berkaitan COVID-19 terus memburuk, kita akan dapat lihat harga bakal melepasi paras AS$2,000 seauns," katanya kepada BH.

Mengulas mengenai prospek emas menjelang Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat (AS), Kim Fung berkata, keputusan sama ada Donald Trump atau Joe Biden memenangi pemilihan kali ini akan memberi kesan kepada komoditi itu bergantung kepada dasar yang akan dikemukakan Presiden baharu.

Katanya, pada pilihan raya terdahulu, harga emas dilihat tidak menentu sebelum menjadi stabil selepas Trump melancarkan perang dagang ke atas China.

"Kita harus lihat parti mana yang akan memenangi pilihan raya dan dasar apakah yang akan dilaksanakan untuk memacu dan merancakkan semula ekonomi.

"Jika Demokrat memenangi pemilihan dan Biden memilih untuk menamatkan perang dagang seterusnya menggalakkan perdagangan lebih kukuh antara kedua negara, ia pasti menyebabkan harga emas cenderung menurun," katanya.

Beliau berkata, lonjakan besar dalam pergerakan harga emas dipengaruhi perubahan drastik dalam dasar monetari dari AS termasuk pilihanraya Presiden AS, pengurangan kadar faedah dan kejatuhan besar dolar AS.

"Dengan mengambil kira faktor kenaikan baru-baru ini, saya meragui akan ada lonjakan besar lain kecuali berlakunya perubahan drastik dasar di AS.

"Buat masa ini saya melihat paras rintangan emas pada AS$2,180 (RM9,036) seauns atau RM318.74 segram, manakala paras sokongan adalah AS$1,720 (RM7,129) seauns atau RM251.47 segram menjelang akhir tahun.

"Dengan mengambil contoh sebelum ini, saya juga menjangkakan emas cenderung turun sekitar 40 peratus dari paras kemuncaknya sekitar AS$2,080 (RM8,621) seauns kepada AS$1,300 (RM5,388) seauns jika vaksin COVID-19 sah ditemui dan perang dagang AS-China berakhir," katanya.

Sementara itu, Ketua Strategi Pasaran ATFX, Alejandro Zambrano, berkata harga emas dijangka memberi reaksi menjelang liputan meluas pilihanraya Presiden AS awal November ini.

Katanya, harga emas kembali menunjukkan momentum menaik sejak akhir September selepas pemilihan presiden baharu AS semakin hampir ke kemuncaknya.

"Perbezaan dasar yang akan diketengahkan sama ada oleh Trump atau Biden memberi impak kepada pergerakan harga emas.

"Pelabur semestinya akan memantau secara dekat pemilihan ini untuk menentukan hala tuju pasaran aset selamat ini," katanya.