28. Jan, 2021

Harga emas catat permulaan terburuk dalam sedekad

SINGAPURA: Harga emas menjunam selepas Rizab Persekutuan (Fed) mengekalkan penanda aras kadar faedah dan paras pembelian bon.

Perkembangan itu sekali gus mengukuhkan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) serta meletakkan harga emas dalam laluan mencatatkan permulaan tahun terburuk dalam tempoh sedekad.

Fed mengulangi bahawa ia akan mengekalkan pembelian bon bernilai AS$120 sebulan sehingga 'perkembangan besar selanjutnya' berkaitan sasaran inflasi dan pengambilan pekerja dicapai.

Selepas mesyuarat pertama Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan tahun ini, Pengerusinya, Jerome Powell berkata ia akan mengambil masa untuk mencapai ambang yang membolehkan jumlah pembelian bon diubah, sekali gus memberi petunjuk jelas bahawa bank pusat itu tidak akan mengubahnya dalam masa terdekat.

Harga logam berharga susut lebih tiga peratus tahun ini, prestasi Januari terburuknya sejak 2011, apabila pelabur mempertimbangkan pengukuhkan dolar, prospek lebih banyak program rangsangan serta trajektori pandemik COVID-19.

Powell berkata, kesediaan vaksin adalah asas kepada keyakinan, dengan menegaskan bahawa beberapa perkembangan terarah kepada tinjauan lebih baik akhir tahun ini.

"Pelabur tertumpu kepada nada keyakinan Fed terhadap vaksinasi, yang membayangkan pemulihan mantap pada separuh kedua," kata Penganalisis Pasaran Kanan Oanda Group, Edward Moya.

"Emas sukar mendapatkan rentaknya semula sehingga peningkatan dolar berakhir. Fasa pengukuhan emas berterusan dan faktor bulis akan kekal jika harganya dapat bertahan di paras AS$1,800 dalam beberapa minggu akan datang."

Harga spot emas susut 0.4 peratus kepada AS$1,837.29 di Singapura hari ini selepas turut berakhir 0.4 peratus lebih rendah pada Rabu.

Harga perak dan platinum juga merosot, manakala palladium kekal.

Indeks Spot Dolar Bloomberg menokok 0.1 peratus selepas melonjak 0.6 peratus sehari sebelumnya.

-Bloomberg