6. Apr, 2021

Ekonomi tunjuk isyarat pulih, harga emas merosot

SINGAPURA: Harga emas merosot apabila pelabur mengambil kira isyarat selanjutnya pemulihan ekonomi, dengan yang terkini adalah data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) lebih baik daripada jangkaan.

Majikan di AS menambah bilangan pekerjaan paling banyak dalam tempoh tujuh bulan pada Mac, di tengah-tengah pelaksanaan vaksinasi COVID-19 dan pelonggaran sekatan perniagaan.

Pekerjaan bukan ladang meningkat sebanyak 916,000 berbanding Februari, demikian menurut Jabatan Buruh.

Peniaga komoditi turut memerhatikan perkembangan cadangan perbelanjaan infrastruktur AS$2,25 trilion Presiden Joe Biden.

Republikan, yang bimbang cukai akan dinaikkan bagi membiayainya berkata, mereka akan menyokong pelan yang lebih kecil.

Dagangan emas lengang pada Isnin apabila pasaran di kebanyakan Eropah, Australia, China dan Hong Kong ditutup sempena cuti umum.

Logam berharga itu mencatatkan penurunan suku tahunan pertama sejak 2018 dalam tiga bulan pertama 2021, apabila pulangan bon AS meningkat di tengah-tengah keyakinan terhadap pemulihan ekonomi pasca pandemik.

Ia menyebabkan pelabur kurang berminat dengan logam berharga itu.

Pegangan dalam dana tukaran sokongan emas susut ke paras terendah sejak Mei, manakala dana lindung nilai menurunkan pertaruhan bulis bersih emas ke paras terendah dalam tiga minggu pada minggu lalu.

"Harga emas dijangka berdepan kesukaran untuk meningkat, ekonomi global sedang pulih dengan pantas," kata ahli ekonomi di Oversea-Chinese Banking Corp, Howie Lee.

Spot emas jatuh 0.2 peratus kepada 1,726.29 seauns pada jam 9.45 pagi di London.

Perak, palladium dan platinum semuanya merosot.

Indeks Spot Dolar Bloomberg menokok 0.2 peratus dan Goldman Sachs Group Inc meletakkan saranan singkat terhadap mata wang itu.

-Bloomberg

CREDIT : BERITA HARIAN