29. Oct, 2021

Lesap RM11,000 diperdaya penjual emas Instagram

KUANTAN – Seorang suri rumah di Bentong kerugian RM11,000 selepas diperdaya penjual emas yang mengadakan jualan murah di laman Instagram, semalam.

Kejadian bermula apabila wanita berusia 30 tahun itu tertarik selepas melihat iklan disiarkan pemilik akaun Instagram Kedai Emas Lelong ketika melayari laman sosial berkenaan di rumahnya petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa melakukan pembelian gelang emas seberat 7.86 gram berharga RM299 seperti diiklankan suspek.

“Mangsa telah membuat transaksi pemindahan wang sebanyak lapan kali melibatkan jumlah keseluruhan RM11,000.

“Seterusnya mangsa diarahkan suspek untuk memasukkan pula wang proses pengiriman gelang emas tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd. Wazir menambah, mangsa bagaimanapun berasa curiga sejurus diminta membuat bayaran tambahan sedangkan telah membayar RM11,000 sebelum itu.

Mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong semalam dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

– K! ONLINE

KREDIT : 

  • Oleh MOHD. SHAHRULANOOR ISHAK
  • 10 April 2021, 2:37 pm