17. Jul, 2021

COVID-19 Pusara Seksyen 21 Shah Alam jadi tumpuan

SHAH ALAM: Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini pada petang ini menjadi tumpuan apabila terdapat hampir 50 waris menunggu jenazah ahli keluarga masing-masing yang meninggal dunia akibat Covid-19 untuk dikebumikan.

Mereka dilihat mulai tiba sejak pukul 4.30 petang tadi.

Bagaimanapun, pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengehadkan kehadiran ahli keluarga mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Difahamkan, lebih 25 jenazah dipercayai dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang akan dikebumikan di tanah perkuburan itu hari ini menjadikan jumlah pengebumian berkenaan terbanyak berbanding sebelum ini.

Utusan Malaysia yang membuat tinjauan di sini turut difahamkan setakat hari ini sebanyak 15 jenazah sudah dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21 sejak pagi tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 160 jenazah dikebumikan sejak penularan wabak pandemik melanda negara pada tahun lepas.

CREDIT UTUSAN MALAYSIA

  • Oleh MOHAMAD ATHIR ISMAIL
  • 16 Julai 2021, 6:36 pm